
LINTAH kini mengikut jejak lebah dan gamat yang mempunyai nilai komersial untuk dijadikan pelbagai produk berkaitan kesihatan dan bahan dalam kosmetik.Lintah kini diternak secara komersial selepas menyedari potensi besar lintah, terutama dalam industri kosmetik di luar negara.Antara peneraju usaha penternakan dan pemprosesan lintah secara komersial di negara ini ialah Art Soulist Sdn Bhd, sebuah syarikat Bumiputera yang menceburi bidang ini sejak 10 tahun lalu.Pengarahnya, Zamri Ibrahim, mengakui masyarakat masih memandang negatif sedangkan haiwan itu mempunyai nilai komersial dan amat berpotensi.Mengenepikan prasangka bersifat negatif, katanya pendekatan Art Soulist dari bergerak secara senyap berubah agresif sejak tahun lalu dengan memperkenalkan penternakan lintah kepada usahawan di seluruh negara.Katanya, permintaan tinggi terhadap lintah di Amerika Syarikat dan Eropah menyebabkan perlu ada kaedah penghasilan lintah yang sistematik.Sebelum ini, katanya bekalan diperoleh dengan cara mencari lintah liar, tetapi cara itu tidak lagi sesuai kerana tidak konsisten, selain habitat lintah semakin berkurangan berikutan amalan penggunaan racun di sawah.“Saya pernah pergi ke kawasan sawah di Kelantan dan Terengganu, tetapi tidak menjumpai seekor lintah pun. Hanya di kawasan sawah terbiar, lintah boleh dijumpai,” katanya.Ini menyebabkan Art Soulist memperkenalkan kaedah ladang kontrak untuk membekalkan lintah secara tetap. Melalui pelan itu, bakal penternak lintah menghadiri kursus mengenai semua aspek penternakan dan perkara berkaitan.Zamri berkata, Art Soulist memberi khidmat nasihat dan membekalkan anak lintah kepada penternak yang mengusahakan ladang lintah mengikut kaedah operasi yang ditetapkan.Dua kaedah boleh digunakan, pembiakan secara semula jadi dalam kolam tanah dan bekas akuarium, tetapi paling berkesan adalah kolam tanah.Keluasan kolam adalah kira-kira 111 meter persegi, manakala kedalaman 0.6 meter. Lintah juga boleh diternak dalam bekas plastik, tetapi tidak menyamai habitat semula jadi dan dibimbangi boleh menjejaskan kualiti haiwan itu.Tempoh matang sebelum diambil dari kolam adalah antara empat hingga enam bulan. Sepanjang tempoh itu, lintah diberi makan dua kali seminggu.Semua ternakan lintah vendor dibeli oleh Art Soulist. Dengan pendapatan lumayan, iaitu kira-kira RM60,000 dalam tempoh enam bulan bagi 10 kolam saiz 6 X 18.18 meter, kini ada kira-kira 500 vendor di seluruh negara.Zamri berkata, kira-kira 80 peratus lintah dieksport dalam bentuk ekstrak cecair untuk kegunaan industri kosmetik.Ini termasuk losyen untuk mengatasi masalah lebam mata dan jerawat. Bagaimanapun, ekstrak lintah untuk kegunaan perubatan memerlukan kualiti lebih tinggi dan mendapat pengiktirafan pihak berkuasa kesihatan antarabangsa.Pensyarah Institut Akuakultur Tropika, Universiti Malaysia Terengganu, Dr Zaleha Kassim, berkata penggunaan lintah dalam perubatan bukan perkara baru kerana antara 1830-1850, haiwan ini digunakan dengan meluas.Antara kelebihan lintah ialah mempunyai hirudin, iaitu bahan antipembeku yang kini dimajukan sebagai bahan anti pembekuan sistemik.“Kajian Profesor K Diakonov pada 1809 mendapati darah manusia yang dihisap dan berada dalam perut lintah tidak membeku, manakala keadaan sel darah merah adalah baik. Penyelidikan Highcraft pada 1884 mendapati ekstrak lintah menghalang darah dalam tabung uji membeku dan ini memulakan penemuan hirudin,” katanya.Katanya, lintah kini banyak digunakan dalam pembedahan plastik, manakala mengikut laporan, antara kegunaan lintah termasuk merawat mata dan telinga tengah yang bengkak.Sementara itu, Pengarah Urusan Bio Appeal Sdn Bhd, Zulkiplee Abdul Rahim, 42, tidak menyangka dalam beberapa minggu lagi beliau akan mengutip hasil daripada ladang ternakan lintah yang dibangunkannya pada Disember tahun lalu.Melalui konsep vendor dengan Art Soulist Holdings Sdn Bhd, Zulkilfi membuka Ladang Lintah Sungai Jerang di Batu 18, Hulu Langat, Selangor. Selain pulangan lumayan, beliau mahu menyahut gesaan kerajaan supaya lebih ramai usahawan menceburi bidang pertanian.Selain pasaran terjamin kerana hasil ternakan dibeli oleh Art Soulist, katanya menternak lintah tidak banyak kerenah, berbanding saingan hebat dal
am industri pembinaan yang diceburi sebelum ini.
Beliau juga merancang menternak lintah terbesar di Malaysia. Lintah yang dinamakan Boboy itu kini berukuran 4.54 meter dan bercadang membesarkan hingga melebihi 6.36 meter, iaitu lintah terbesar yang setakat ini dilaporkan wujud di dunia.Dia yakin dapat memecah rekod itu kerana Boboy cepat membesar apabila diberi darah manusia paling kotor.“Sebagai eksperimen kegunaan lintah untuk tujuan perubatan, Boboy menghisap darah mereka yang menghidap penyakit seperti gout. Setiap kali proses `rawatan’ mengambil masa antara dua hingga tiga jam,” katanya.FAKTA: Lintah
Lintah adalah haiwan kumpulan cacing annelida
Sekumpulan dengan cacing tanah dan lebih maju berbanding cacing pipih dan bulat.
Terdapat kira-kira 500 spesies lintah. Saiz biasa adalah 50 milimeter dan boleh mencapai 30 sentimeter.
Secara umum, lintah berbadan leper, mempunyai 34 gelang dan penghisap pada kedua-dua belah hujung.
Mendapat oksigen melalui kulit yang lembap. Jika air kurang oksigen, lintah akan timbul ke permukaan.
Lintah hidup di kawasan panas yang terlindung dan kurang pengaruh air berarus. Kedalaman paling sesuai adalah dua meter.
Lintah yang bukan parasit tidak suka cahaya, bersembunyi di bawah batu dan tumbuhan akuatik. Sesetengah spesies aktif pada waktu malam.
Lintah tidak suka dasar bertanah liat atau air yang nilai kapur rendah (air masam).
Kebanyakan lintah di tropika hidup di darat, manakala di Amerika Utara, kebanyakan dijumpai dalam air tawar dan laut.
Lintah mempunyai dua kumpulan, arhynchobdellida dan rhynchobdellida.
Arhynchobdellida mempunyai mulut besar, sebahagian besar akuatik atau amfibia, perenang yang kuat, pemangsa dan penghidap darah.
Rhynchobdellida mempunyai mulut seperti liang kecil dengan penghisap dan kebanyakan parasit luar.
Lintah yang ada rahang bergigi pada penghisap anterior melekap pada mangsa, mengeluarkan bahan anti pembekuan darah (hirudin).
Lintah tanpa rahang bergigi dan tiada penghisap, melekap pada mangsa, menggunakan jarum kecil untuk menusuk mangsa, mengeluarkan enzim (hemetin) yang mencairkan darah beku mangsa.
Lintah adalah hermapordit (jantan dan betina dalam satu badan), tetapi perlu mengawan untuk membiak. Kedua-dua lintah akan menyalurkan sperma ke badan pasangan.
Lintah akan melepaskan gigitan selepas darah yang dihisap mencukupi.
Lintah boleh menghisap darah lima kali melebihi berat badannya.
Lintah pertama digunakan dalam perubatan adalah kira-kira 1,000 SM. Kemungkinan pada era purba India.
Wales pernah pada suatu ketika adalah kawasan mengumpul lintah utama Eropah.
Lintah dikutip dengan cara pengumpul berdiri dalam tasik atau kolam dan apabila lintah melekat di kaki, mereka mencabut dan disimpan dalam bakul untuk dijual. Kini sesetengah spesies lintah adalah haiwan terancam.
